Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021

JOHOR, 13 Jun 2021 - Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob bersama delegasi berkesempatan untuk meninjau perkembangan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada 17 Jun 2021.

Kompleks Hospital Medan secara hibrid ini terdiri daripada khemah rawatan COVID-19 bagi pesakit kategori 3 dan 4 yang mampu memuatkan 60 pesakit COVID-19 serta sebuah kontena bilik perawatan ICU yang mampu memuatkan 6 pesakit pada satu-satu masa. Kapasiti hospital ini juga boleh dipertingkatkan sehingga dapat memuatkan 100 buah katil untuk pesakit Kategori 3 dan 4 manakala 12 Katil ICU dapat diwujudkan sekiranya diperlukan.

Dengan adanya Hospital Medan ATM ini ianya akan menjadi fasiliti perawatan tambahan dan mampu menerima lebih banyak rujukan pesakit COVID-19 diseluruh negeri Johor.

Selain itu, ia juga mampu bertindak sebagai decanting centre bagi kes-kes bukan COVID-19 sekiranya diperlukan.

Dalam pada itu, pengoperasian Hospital Medan ATM ini adalah di bawah pemerintahan Panglima MK 7 Bgd selaku Area Military Controller (AMC) manakala aspek teknikal diletakkan di bawah pegawai daripada Kor Kesihatan Diraja ATM serta akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelbagai agensi lain.

Seramai 6 pegawai bersama 33 anggota daripada Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM serta 16 Pegawai dan Anggota daripada Markas 7 Briged akan terlibat di dalam misi ini.
Kementerian Pertahanan akan terus komited dalam usaha memastikan kerajaan dapat mengawal serta melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 di negara ketika ini.

Turut hadir dalam tinjauan ini, Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr Adham bin Baba, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham bin Abdullah, KSU Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain.