Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2021

SAMARAHAN, 19 Jun 2021 - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membina sebuah Hospital Medan di Labuan bagi menampung pesakit COVID-19 yang semakin meningkat.

Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk membina hospital itu dibuat setelah melihat peningkatan kes positif COVID-19 yang mendadak sehingga seluruh Labuan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Mengulas lanjut, beliau berkata pasukan teknikal ATM akan digerakkan ke Labuan pada Selasa depan dan hospital itu dijangka akan dilengkapi 90 katil, empat katil Unit Rawatan Rapi (ICU), lapan doktor termasuk pakar perubatan dan 30 anggota paramedik.

Tambahnya lagi, seramai 7,032 individu terdiri daripada warga tentera, veteran, keluarga serta kakitangan awam di sekitar Kuching telah disenaraikan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Inisiatif program vaksinasi pandu lalu ini akan diperluaskan lagi secara berskala besar. Kementerian Pertahanan dan ATM telah merancang untuk melaksanakan program itu meliputi penempatan dan kem tentera di seluruh negara,” katanya.

Program vaksinasi pandu lalu di Kem Muara Tuang dilaksanakan selama lima hari bermula hari ini dan berlangsung selama lapan jam sehari bermula seawal 8 pagi hingga 4 petang dengan anggaran seramai 960 orang penerima vaksin sehari.

Dalam pada itu, beliau berkata ATM juga akan membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Sarawak dengan menggerakkan 'Combat Medic Vaccination Team' (CMVT) bagi memberikan perkhidmatan vaksinasi ke kawasan pedalaman.

Menurut beliau, setakat ini terdapat lima lokasi pemberian vaksin di kawasan pedalaman di Sarawak telah dikenal pasti meliputi tiga Bahagian di Sarawak iaitu Limbang, Kapit dan Sibu dengan proses penghantaran vaksin akan menggunakan laluan udara, air dan darat.

CMVT di Sarawak akan diselaraskan oleh Markas 1 Divisyen Infantri dengan seramai lima orang pegawai perubatan, 15 anggota paramedik akan digerakkan termasuk 30 anggota sokongan yang bertugas di setiap kawasan terbabit.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemberian vaksin pandu lalu Tentera Darat di Kem Muara Tuang, Samarahan di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ikmal Hisham bin Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez bin Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi bin Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain.