KUALA LUMPUR, 19 Januari 2023 - Bertemakan Inovasi Teras Transformasi, Kualiti Dan Kreativiti, Kementerian Pertahanan hari ini telah mengadakan Majlis Penutup Minggu Inovasi 2023 bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada usaha dan hasil yang telah dicapai oleh Kumpulan Inovatif dan Kreatif Sektor Awam dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Adly bin Zahari, Timbalan Menteri Pertahanan mewakili Menteri Pertahanan bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan.
Minggu Inovasi Kementerian Pertahanan 2023 telah bermula pada 13 hingga 19 Januari 2023 melibatkan penyertaan daripada 58 kumpulan. Sempena pertandingan dan Minggu Inovasi bagi Tahun 2023, pelbagai program, aktiviti dan pertandingan turut diadakan di perkarangan lobi utama MinDef bagi menarik minat dan berkongsi produk-produk yang telah dihasilkan oleh para peserta pertandingan.
Bagi kategori Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Primer, sebanyak 23 kategori penciptaan dan 23 kategori penambahbaikan dipertandingkan, sementara dalam kategori KIK Hibrid, sebanyak enam (6) penyertaan telah diketengahkan melibatkan kategori penciptaan dan penambahbaikan dengan penyertaan dari Kementerian dan ATM.
Bagi Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan untuk Kategori Penciptaan, pemenang tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan The Bullet dari Sekolah Latihan Pegawai dengan projek bertajuk Cartridge Destroyer. Manakala untuk Kategori Penambahbaikan, pemenang tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan TRF Corp dari Cawangan Kejuruteraan PU Kuantan dengan projek bertajuk Radar Processor Interface Device.
Bagi Bidang Inovasi Sosial untuk Kategori Penciptaan, pemenang tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan Herky Bird dari No 14 SKN TUDM dengan projek bertajuk Detachable Elastic Barrier. Manakala untuk Kategori Penambahbaikan, pemenang tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan RCIT - RMAF CMO Innovatin Team dari Cawangan Tadbir PU Subang dengan projek bertajuk Digital Defect Report (DDR).
Bagi Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan untuk Kategori Penciptaan dan Penambahbaikan, pemenang tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan Jejak Samudera dari No 16 SKN TUDM dengan projek bertajuk Knight BI Elektronic Management System (K-BEMS). Manakala untuk Bidang Inovasi Sosial bagi Kategori Penambahbaikan, pemenang tempat pertama dimenangi oleh Kumpulan RIMAU TECH dari Pulatibang III dengan projek bertajuk Alert Extender (ALEXANDER).
Produk-produk inovasi yang dipertandingkan diharap dapat memberi suntikan kreativiti dan mentransformasikan kualiti perkhidmatan warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia ke arah era yang lebih cemerlang.
Timbalan Menteri Pertahanan turut menyampaikan Hadiah Ikon Inovasi Bagi Setiap Perkhidmatan. Bagi Ikon Inovasi Awam Mindef, diberikan kepada Gs. Dr. Dinesh Sathyamoorthy. Manakala Ikon Inovasi Tentera Darat Malaysia, Lt. Kol. Ts. Dr. Mohd Ghazali Bin Abdul Rahman. Ikon Inovasi Tentera Laut Diraja Malaysia, Kept. Ts. Dr. Hisyam Bin Harun TLDM dan Ikon Inovasi Tentera Udara Diraja Malaysia, Mej Hairul Zaimy Bin Ibrahim TUDM.
Turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Mencipta Logo Sistem Pemantauan Pelan Strategik Mindef kepada Siti Fatimah Binti Umar serta pemenang pertandingan Mencipta Nama Sistem Pemantauan Pelan Strategik Mindef kepada Wan Suzie Juliani Binti Wan Ismail.
Turut hadir, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain Panglima Tentera Darat mewakili Panglima Angkatan Tentera, wakil Panglima-Panglima Perkhidmatan, Pihak Pengurusan Kementerian Pertahanan dan ATM serta warga Kementerian Pertahanan.