SINGAPURA, 2 Jun 2023- Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan telah tiba di Singapura bagi menghadiri forum Shangri-La Dialogue 2023 (SLD2023). Forum ini merupakan forum keselamatan bertaraf antarabangsa yang melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Pertahanan dan pegawai-pegawai tertinggi Kerajaan dari negara-negara di rantau Asia Pasifik dan benua Eropah.
Di forum ini beliau akan membuat pertemuan dua hala dan pelbagai hala bersama rakan sejawat dari negara-negara strategik.
Beliau telah mengadakan pertemuan dua hala dengan TYT Carlito G. Galvez, Jr, Senior Undersecretary, Officer In Charge, Department of National Defence Philippines, TYT Dr Ng Eng Hen, Minister of Defence Singapore dan TYT Helena Carreiras, Minister of Defence Portugal.
Bagi perjumpaan pelbagai hala pula, beliau telah menghadiri mesyuarat US-Asia Tenggara yang dipengerusikan oleh TYT Lloyd James Austin III, U.S Secretary of Defence.
Kehadiran Menteri Pertahanan di forum ini memperlihatkan kesungguhan Malaysia dalam meningkatkan kerjasama pertahanan dengan negara-negara serantau dan luar rantau selaras dengan tonggak ketiga strategi pertahanan negara yang menekankan kepada perkongsian berwibawa, seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan. Sebanyak 41 buah negara menghadiri forum Shangri-La Dialogue 2023 (SLD2023).