SELANGOR, 7 September 2023 - Program Cakna Sains, Teknologi Dan Inovasi Pertahanan yang dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) terus dilaksanakan bagi memperkenalkan dan menggalakkan penglibatan pelajar dalam Sains dan Teknologi secara amnya dan secara khususnya dalam aktiviti penyelidikan pertahanan.
Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari telah merasmikan Program Membudayakan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Pertahanan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang Selangor Darul Ehsan.
Selain daripada penglibatan pelajar Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, ia turut melibatkan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah menengah di Daerah Hulu Langat, Selangor Darul Ehsan.
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah Cakna Sains, Teknologi dan Inovasi (ST&I) Pertahanan di mana, para penyelidik STRIDE akan mengadakan kunjungan ke sekolah-sekolah terpilih bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan aktiviti penyelidikan dan mengadakan pameran berkaitan kemajuan teknologi pertahanan.
Selain itu, Pertandingan Inovasi Pertahanan bertemakan Future Soldier atau Tentera Masa Hadapan yang dibuka kepada pelajar sekolah menengah seluruh negara bertujuan untuk menggalakkan kreativiti serta mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah dalam mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) untuk menghasilkan projek inovasi yang berimpak tinggi.