Slide 1

BERITA TERKINI

KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA
2023

UNITED KINGDOM, 12 September 2023 - YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Pertahanan kini sedang dalam Lawatan Kerja ke United Kingdom atas jemputan rakan sejawat beliau, TYT Ben Wallace, mantan Setiausaha Pertahanan United Kingdom.

Peluang ini digunakan bagi membincangkan halatuju pemerkasaan pertahanan dan juga untuk menghadiri Defence and Security Equipment International (DSEI 2023) yang berlangsung mulai 12 hingga 15 September 2023 bertempat di ExCel London yang dirasmikan oleh TYT James Cartlidge MP, Minister of State for Defence Procurement United Kingdom.

Penyertaan Malaysia ke DSEI 2023 adalah bagi menzahirkan komitmen berterusan Malaysia untuk terus mengukuhkan kerjasama pertahanan bersama United Kingdom.

Dalam pada masa yang sama, YB Menteri Pertahanan dan delegasi telah mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain utama industri pertahanan antarabangsa bagi mendapatkan perkembangan terkini pembangunan industri pertahanan serta penggunaan peralatan dan sistem teknologi pertahanan terkini.

Di kesempatan ini, beliau meneroka peluang jalinan kerjasama dengan United Kingdom dan negara-negara strategik dalam bidang sains, teknologi dan industri pertahanan selaras dengan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan.

Turut mengiringi Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Binti Haji Ahmad dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad bin Ab Rahman.