Soalan Lazim
Hubungi Kami
Maklum Balas
Peta Laman
Content
Berita
Kementerian Pertahanan Malaysia
Content

PENGHORMATAN TERAKHIR BUAT WIRAWATI NEGARA DI BUMI ANBIYA

info

MARAKAH, 23 Mei 2024 – Majlis Penghormatan Jenazah Allahyarhamah Sarjan Faridah binti Abd Rahman yang telah disahkan meninggal dunia di Lubnan pada 18 Mei 2024 (Sabtu) jam 2.25 pagi waktu Lubnan atau jam 7.25 pagi waktu Malaysia akibat serangan jantung telah dilaksanakan mengikut tradisi ketenteraan oleh pihak UNIFIL  bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafik Hariri, Beirut, Lubnan. 

Majlis tersebut telah dihadiri oleh Leftenan Jeneral Aroldo Lazaro, Komander UNIFIL, Tuan Yang Terutama Azri bin Mat Yaacob, Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Brigedier Jeneral Ahmad Saadeh, Panglima 5 Briged Lebanese Armed Forces (LAF) South Litani Sector, Brigedier Jeneral Enrico Fontana, Komander Sektor Barat dan Kolonel Burhan bin Sagoni, Komander MALBATT 850-11.

Ketibaan jenazah Allahyarhamah turut disambut oleh Kontinjen MALBATT 850-11 dan suasana hiba dapat dirasakan apabila jenazah diturunkan daripada van jenazah dan diusung masuk. Tetamu kenamaan yang hadir memberikan tabik hormat ketika keranda jenazah diusung dan diletakkan di tengah-tengah medan dibaluti bendera UNIFIL. Doa telah dibaca oleh Mejar Ustaz Mohd Aiman bin Ahmad Termizi, Pegawai Staf 2 Agama, MALBATT 850-11 sebelum upacara dimulakan.

Upacara dimulakan dengan pengurniaan pingat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau United Nations Medal dan Pingat Keberanian Tentera Lubnan (Gangsa) atau Lebanon Bronze Military Valour Medal kepada Allahyarhamah. Leftenan Jeneral Aroldo Lazaro, Komander UNIFIL telah meletakkan pingat PBB sebagai pengiktirafan diatas pengorbanan Allahyarhamah sepanjang berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan disusuli dengan Brigedier Jeneral Ahmad Saadeh, wakil LAF meletakkan pingat Lubnan sebagai tanda penghargaan dari Kerajaan Lubnan.

Upacara diteruskan dengan meletakkan kalungan bunga yang dimulakan oleh Komander UNIFIL dan disusuli oleh TYT Duta Besar Malaysia ke Lubnan, wakil LAF, Komander Sektor Barat dan Komander MALBATT. Suasana di medan bertukar hening dan pilu seketika semasa tiupan last post sebagai penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Sarjan Faridah.

Bagi mengakhiri upacara, Bendera UNIFIL telah dilipat oleh anggota MALBATT dan doa dibacakan sebelum keranda Allahyarhamah, yang dilitupi Jalur Gemilang, diusung keluar dari medan dan dibawa ke tempat penyimpanan kargo untuk diterbangkan ke Malaysia.

Pesawat telah berlepas dari Lapangan Terbang Rafik Hariri, Beirut pada 12.05 tengahari waktu Lubnan atau 5.05 petang waktu Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi urusan pengebumian di kampung halaman Allahyarhamah di Pendang, Kedah.

Sumber : MyJointForce

Content
Hubungi Kami

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
Malaysia
(60)3-4019 9999 (Ibu Sawat)
mindef[at]mod[dot]gov[dot]my