KUALA LUMPUR, 8 Mei 2025 – Malaysia, dengan kerjasama Kesatuan Eropah, telah berjaya menganjurkan ASEAN Regional Forum Defence Officials’ Dialogue (ARF DOD) bersempena Kepengerusian ASEAN 2025, bertempat di Hotel InterContinental.
Dialog berprestij ini menghimpunkan pegawai kanan pertahanan dari 24 negara peserta ARF untuk membincangkan pelbagai isu keselamatan serantau, termasuk impak teknologi baharu terhadap pertahanan serta hala tuju ke arah kerjasama yang lebih mampan, inklusif dan berteraskan kepercayaan.
Sebagai tuan rumah dan Pengerusi Bersama, Malaysia menegaskan komitmennya dalam memperkukuh kerjasama pertahanan pelbagai hala. Kementerian Pertahanan Malaysia memainkan peranan utama dalam merangka agenda dialog strategik ini, seterusnya mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemangkin keamanan dan kestabilan serantau.
Penganjuran ini turut mencerminkan aspirasi ASEAN 2025 yang menekankan perpaduan, keselamatan dan kemakmuran bersama, sejajar dengan matlamat Kementerian Pertahanan untuk terus mendukung diplomasi pertahanan yang aktif dan progresif.