Soalan Lazim
Hubungi Kami
Maklum Balas
Peta Laman
Content
Berita
Kementerian Pertahanan Malaysia
Content

DUA BUAH PESAWAT A400M TUDM DIATUR GERAK MENGHANTAR TIM OPERASI STARLIGHT III KE MYANMAR

mindef

SUBANG, 18 April 2025 – Dua buah pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), hari ini telah diaturgerak bagi pelaksanaan Operasi STARLIGHT III (Operasi Bantuan Kemanusiaan) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Pangkalan Udara Subang ke Myanmar susulan gempa bumi yang berlaku pada 28 Mac 2025 yang lalu. 

Bertindak atas perkembangan situasi semasa dan nilai kebersamaan, ATM telah mengaktifkan Operasi STARLIGHT III khusus dalam aspek perkhidmatan kesihatan melalui aturgerak Hospital Medan Malaysia (HMM) Tahap 2 (limited bedding) dijadualkan selama 30 hari kepada mangsa gempa bumi di Myanmar sesuai pengarahan semasa yang telah diberikan. Pengoperasian HMM ini akan dikoordinasikan menerusi kerjasama terus dengan Kerajaan Myanmar dan menggariskan fokus utama bagi menyokong kerajaan Myanmar melalui bantuan perubatan dan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negara tersebut yang berada dalam kesukaran ketika ini.

Dua buah pesawat Airbus A400M yang terlibat dalam operasi ini masing-masing telah berlepas pada jam 4.30 pagi dan 5.00 pagi. Kedua-dua penerbangan ini mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Mandalay, Myanmar pada jam 7.30 pagi dan 8.00 pagi hari ini waktu Malaysia. HMM ini seterusnya akan ditempatkan di Sagaing, Myanmar dan beroperasi bagi tujuan penyaluran bantuan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa yang terjejas. Terdahulu, upacara pelepasan kepada pasukan operasi ini telah disempurnakan oleh Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi bin Khamis yang mewakili Panglima Angkatan Bersama.

Tindakan penghantaran HMM ini adalah bertepatan dengan hasil keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 April 2025 yang berkehendakkan pembinaan HMM bagi menyokong usaha bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi.

Selaras itu, keseluruhan seramai 69 orang Pegawai dan anggota ATM dari pelbagai kepakaran antaranya meliputi Forward Anaesthesia and Surgical Team (FAST) HMM, elemen dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama Tim Keselamatan diketuai oleh Kolonel (Dr) Ahmad Farhan bin Ahmad Fuad sebagai Pemerintah Operasi telah diaturgerak bersama bagi pelaksanaan Operasi STARLIGHT III ini. Pasukan ini turut membawa bersama keperluan peralatan merangkumi Hospital Medan Tahap 2, kit perubatan, komunikasi, teknikal, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan 2 buah trak. 

Berdasarkan maklumat terkini oleh Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar, sejumlah 109 gegaran susulan telah direkodkan sejak kejadian gempa bumi utama bermagnitud 7.7 dan gegaran susulan bermagnitud 6.4 yang melanda kawasan tengah Myanmar pada 28 Mac 2025. Angka korban kini meningkat melebihi 3,603 orang, lebih 4,817 individu mengalami kecederaan dan 141 orang masih dilaporkan hilang. Dianggarkan lebih 9 juta penduduk terjejas teruk termasuk 2.7 juta kanak-kanak merangkumi 58 buah perbandaran di kawasan Bago Timur, Kayin, Magway, Mandalay, Nay Pyi Taw, Shan Selatan dan Sagaing.

Sumber : Tentera Udara Diraja Malaysia

Content
Hubungi Kami

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
Malaysia
(60)3-4019 9999 (Ibu Sawat)
mindef[at]mod[dot]gov[dot]my