Soalan Lazim
Hubungi Kami
Maklum Balas
Peta Laman
Content
Berita
Kementerian Pertahanan Malaysia
Content

HOSPITAL MEDAN MALAYSIA SELESAIKAN 200 PEMBEDAHAN - BUKTI KEUNGGULAN ATM DALAM MISI KEMANUSIAAN MYANMAR

mindef

MYANMAR, 13 Mei 2025 -  Hospital Medan Malaysia (HMM) di bawah misi Op Starlight III terus mencipta sejarah apabila mencatat kejayaan pembedahan ke-200 pagi ini, satu pencapaian membanggakan buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Pembedahan tersebut melibatkan pemasangan implan logam pada pesakit yang mengalami kecederaan patah tulang tangan kanan. Kejayaan ini membuktikan komitmen HMM dalam menyediakan rawatan perubatan berkualiti tinggi kepada mangsa bencana di wilayah Sagaing, sekaligus menyerlahkan dedikasi serta profesionalisme pasukan perubatan ATM dalam misi kemanusiaan antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, seorang petani tempatan yang cedera di muka akibat letupan periuk api semasa berkebun telah berjaya menjalani pembedahan plastik di HMM. Pembedahan yang berlangsung selama dua jam ini diketuai oleh Pakar Bedah Plastik, Leftenan Kolonel (Dr) Muhammad Izzuddin bin Hamzan dengan sokongan Pakar Bius, Leftenan Kolonel (Dr) Md Ariff bin Md Yusof serta Koperal Noordiana binti Aziz. Kejayaan ini bukan sahaja memulihkan kecederaan fizikal, tetapi juga mengembalikan harapan dan keyakinan mangsa untuk meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna.

Di sebalik kelancaran operasi HMM, Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) berperanan sebagai tulang belakang dalam aspek logistik dan kejuruteraan medan. Melalui kepakaran tersendiri, RAJD memastikan bekalan air bersih harian sebanyak 21,000 liter menggunakan sistem Water Purification System Pranol bagi keperluan hospital, memasak, minuman serta kebersihan.

Lebih membanggakan, RAJD turut memperlihatkan inovasi apabila berjaya mencipta peralatan sokongan pembedahan seperti tempat letak tangan khas dan perabot simpanan alat perubatan menggunakan bahan tempatan dengan kerjasama komuniti setempat. Mereka turut membina kemudahan riadah seperti gelanggang bola tampar, meja ping pong, dan heaving bar bagi menjaga kesejahteraan mental dan fizikal anggota di lapangan. Selain itu, kemudahan asas seperti meja makan, kerusi dan dapur buatan tangan turut disediakan bagi menambah keselesaan di kawasan operasi.

Usaha RAJD juga merangkumi kerja-kerja senggaraan termasuk membaiki tandas di bangunan utama yang terjejas akibat gempa bumi, satu bukti kecekapan tinggi mereka dalam mengurus keperluan di kawasan berisiko tinggi.

Sebagai simbol penghargaan terhadap pengorbanan seluruh warga operasi, RAJD membina sebuah tugu peringatan yang menjadi lambang penghormatan kepada semua pegawai dan anggota yang bertungkus-lumus menjayakan misi ini. Komander HMM, Kolonel (Dr) Ahmad Farhan bin Ahmad Fuad menegaskan bahawa penglibatan RAJD bukan sahaja memperkukuh operasi HMM, malah mencerminkan semangat “Berusaha Berfaedah” yang menjadi asas kepada kejayaan ATM dalam misi kemanusiaan global.

 

Content
Hubungi Kami

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
Malaysia
(60)3-4019 9999 (Ibu Sawat)
mindef[at]mod[dot]gov[dot]my