Soalan Lazim
Hubungi Kami
Maklum Balas
Peta Laman
Content
Berita
Kementerian Pertahanan Malaysia
Content

ISTIADAT MENGARAK PANJI-PANJI SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

info

PUTRAJAYA, 14 September 2024 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berkenan bercemar duli ke Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda bertempat di Dataran Pahlawan Negara.

Turut berangkat sama adalah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia.

Istiadat ini melibatkan 5 Panji-Panji Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong diarak oleh kontinjen dari ketiga-tiga perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) melibatkan Panji-Panji Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Armor Diraja (KAD) di samping Panji-Panji Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Seramai 131 pegawai dan 1,066 Lain-Lain Pangkat terlibat dalam perbarisan bagi Istiadat ini. 5 buah pesawat ATM iaitu tiga buah Helikopter EC725AP, sebuah Agusta 109 dan sebuah Superlynx membuat formasi terbang lintas hormat dengan membawa Bendera Jalur Gemilang, Bendera ATM, TDM, TLDM dan TUDM.

Selain itu, terdapat tembakan Kehormatan Artileri sebanyak 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) dan Keseluruhan perbarisan diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat Angkatan Tentera Malaysia.

Panji-Panji merupakan satu penghormatan dan lambang kemegahan, semangat dan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi oleh ATM terhadap Raja dan Negara. Ia juga amat penting sebagai identiti serta pemilikan setiap warga pasukan ke atas sikap tanggungjawab, legasi dan taat setia yang tidak berbelah bagi.

Turut hadir dalam Istiadat ini adalah Perdana Menteri Malaysia; YAB Anwar Ibrahim , Timbalan Perdana Menteri; YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Pertahanan; YB Khaled Nordin, Ketua Setiausaha; YBhg. Datuk Seri Isham Ishak, Panglima Angkatan Tentera, Panglima-Panglima Perkhidmatan ATM, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan, tetamu kenamaan dari kedutaan dan penasihat pertahanan luar negara, pihak pengurusan tertinggi ATM dan Kementerian Pertahanan.

Content
Hubungi Kami

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
Malaysia
(60)3-4019 9999 (Ibu Sawat)
mindef[at]mod[dot]gov[dot]my