KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2024 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah berkenan untuk bercemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tahun 2024 di Kem Perdana Sungai Besi.
Seramai 664 orang Pegawai Kadet ATM terlibat dalam Istiadat ini yang diketuai oleh Pegawai Rendah Kanan (PRK) Ahmad Arif Izudin bin Mohamad Zin. Dalam perbarisan ini, turut diadakan adalah penyampaian Anugerah Pedang Kehormat berserta Piala Khas kepada 7 orang Pegawai Kadet Terbaik bagi setiap Kolej Perkhidmatan dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK-UPNM), Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI I) dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai (KTU-SLP).
Seusai istiadat berlangsung, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab.Rahman telah menyempurnakan kurniaan watikah tauliah kepada 457 orang Pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM), 101 orang Pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 106 orang Pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Turut hadir ialah Menteri Pertahanan, YB Dato'Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha, YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak serta Panglima-panglima perkhidmatan.Â