REPUBLIK KOREA, 12 September 2024 – YB Khaled Nordin , Menteri Pertahanan mengakhiri lawatan kerja di Republik Korea dengan mengadakan kunjungan ke Korea Aerospace Industries (KAI), Sacheon dan Hanwha Aerospace di Changwon.
Kedua-dua syarikat ini bertanggungjawab dalam pembinaan 18 pesawat tempur ringan FA-50M milik TUDM yang telah dimuktamadkan pada Mei tahun lalu. Penyerahan ini akan bermula pada tahun 2026 kelak.
Lawatan pertama beliau dimulakan dengan demonstrasi produk pertahanan, fasiliti pembuatan serta diberi penerangan berkenaan kemajuan pembinaan pesawat FA-50M.
Seterusnya, YB Menteri Pertahanan mengadakan lawatan di syarikat Hanwha Aerospace yang bertanggungjawab membina enjin F404 bagi FA-50M. Beliau juga diberi penerangan berkenaan produk dan sistem pertahanan merangkumi domain darat, laut, udara dan angkasa.
Menerusi lawatan ini, MINDEF akan terus berusaha memodenkan aset-aset pertahanan dan mengembangkan industri pertahanan terutamanya dalam sektor pertahanan tempatan. Perolehan yang dilaksanakan ini akan dimanfaatkan dalam memastikan negara mencapai matlamat “self-reliance” dalam pertahanan tercapai.