NEGERI SEMBILAN, 13 Ogos 2024- Divisyen Artileri 3 Divisyen (Div Artileri 3 Div) telah menjadi tuan rumah dalam pelaksanaan Latihan Kuasa Tembakan Tahun 2024 (LKT 2024) di bawah Ketumbukan Gabungan Penggempur 3 Divisyen (3 Div), Tentera Darat Malaysia (TDM). Penganjuran LKT 2024 kali ini telah dihadiri oleh Menteri Pertahanan YB Khaled Nordin, Ketua Setiausaha YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan.Â
Objektif pelaksanaan LKT adalah untuk mempamerkan keupayaan sistem persenjataan yang terdapat dalam ATM, terdiri dari TDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam aspek manuver, kuasa tembakan dan impak ke atas sasaran serta future capabillity yang melibatkan penggunaan dron dalam operasi. Selain itu, untuk menguji pengurusan pasukan, keupayaan anggota dan mempamerkan kompetensi anggota yang terlibat dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup.Â
Fasa latihan sempena LKT 2024 telah bermula pada 4 hingga 12 Ogos 2024 dan diadakan sebagai aktiviti tahunan bertujuan memberi pendedahan kepada Siswa Kursus Pemerintah dan Staf Malaysia (KPSM) siri 53/2024 dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) kepada kuasa tembakan. Seramai 180 orang Pegawai Tentera terlibat dan terdiri dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), termasuk 36 Pegawai Tentera dari luar negara sedang mengikuti kursus di MTAT.Â
LKT merupakan latihan medan secara bersama (combine arms) yang melibatkan gabungan ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkumi 2 segmen utama iaitu Dinamik melibatkan manuver kenderaan tempur, aplikasi sistem persenjataan, impak ke atas sasaran dan penggunaan dron serta Tembakan Tidak Langsung. Iaitu mengaplikasikan rancangan tembakan aset artileri dan mortar dengan bantuan pesawat TUDM dan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).Â