SARAWAK, 9 Ogos 2024 - Menteri Pertahanan, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara TUDM Kuching bagi melihat dengan lebih dekat tahap pengoperasian dan kesiagaan TUDM dalam melindungi kedaulatan ruang udara Negara khususnya di Negeri Sarawak.
Semasa lawatan tersebut, beliau telah mengadakan lawatan ke Operasi AWAS atau KERIS PARANG iaitu operasi bersama antara Tentera Darat Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat dalam menjaga keselamatan daratan di perbatasan antara Negeri Sarawak dan Kalimantan Barat atas dasar kolaborasi strategik pertahanan antara Malaysia dan Indonesia.
Seterusnya, YB Menteri Pertahanan mengadakan lawatan ke No.1 Skuadron bagi melihat dengan lebih dekat kesiagaan pesawat milik TUDM jenis CN 235 MSA disusuli tinjauan ke Pusat Simulator CN235 bagi melihat keupayaan sistem dan kecanggihan teknologi yang digunapakai oleh TUDM dalam menyediakan latihan penerbangan awal khususnya kepada para juruterbang TUDM yang mengendalikan pesawat CN235.
Seusai lawatan, beliau berkesempatan menyantuni warga PU Kuching disamping menyampaikan sumbangan kebajikan dengan kerjasama Yayasan LTAT kepada 20 orang penerima yang menghidapi penyakit kronik dan OKU, serta bantuan Sumbangan Kebajikan Pelajar OKU kepada 9 orang penerima.