Soalan Lazim
Hubungi Kami
Maklum Balas
Peta Laman
Content
Berita
Kementerian Pertahanan Malaysia
Content

LAWATAN KERJA KETUA SETIAUSAHA KE TÜRKIYE

mindef

TÜRKIYE, 8 April 2025 – YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, telah mengadakan Lawatan Kerja selama tiga (3) hari bermula dari 6 hingga 8 April 2025 ke Türkiye berkaitan Supply, Delivery and Commissioning of Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2) for the Royal Malaysian Navy – ADA Class Corvette.

Pada hari pertama lawatan, YBhg. Datuk Lokman telah berkesempatan bertemu dengan warga Pasukan Projek LMSB2 yang ditempatkan di Türkiye bagi memantau pelaksanaan projek ini serta mendengar pembentangan berkaitan status semasa projek tersebut.

Pada hari kedua, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Project Monitoring Committee (PMC) bagi Projek Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2), yang diadakan buat kali pertama sejak kontrak dimeterai pada 5 Ogos 2024. Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Tentera Laut; wakil Kementerian Kewangan; wakil Kementerian Ekonomi; Savunma Teknolojileri Mühendislik ve Ticaret A.Ş. (STM); dan Pasukan Projek LMSB2.

Sejurus selepas Mesyuarat PMC, Datuk KSU dan delegasi turut mengadakan lawatan ke HAVELSAN, iaitu subkontraktor STM bagi sistem Combat Management System, dan telah diberikan taklimat serta lawatan berkaitan perkembangan teknologi terkini industri pertahanan Türkiye.

Pada 8 April 2025, Datuk KSU meneruskan lawatan ke Istanbul Shipyard bagi memantau kemajuan pembinaan tiga (3) buah kapal yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2027. Seterusnya, beliau turut menyaksikan Majlis Keel Laying bagi LMSB2 yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut. Upacara Keel Laying merupakan tradisi dalam industri pembinaan kapal yang menandakan bermulanya aktiviti penyambungan blok-blok utama kapal di limbungan.

Datuk KSU turut mengadakan lawatan ke Syarikat Otokar yang merupakan antara syarikat paling berpengalaman di Türkiye dalam pengeluaran bas untuk pengangkutan awam, trak ringan untuk industri pengangkutan dan logistik serta kenderaan berperisai berantai dan kenderaan berperisai taktikal untuk industri pertahanan.

Beliau berpeluang meninjau fasiliti kilang syarikat ini yang mempunyai keluasan 552,000 meter persegi yang beroperasi dengan jumlah pekerja mencecah 3,800 orang. Tinjauan kerja ini dapat membuka ruang kerjasama strategik berkaitan pembangunan teknologi automotif dan kejuruteraan pertahanan negara.

Lawatan ini adalah sebahagian komitmen inisiatif berterusan Kementerian Pertahanan dalam memperkukuh ekosistem industri pertahanan, memantapkan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan meningkatkan keselamatan negara.

Content
Hubungi Kami

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
Malaysia
(60)3-4019 9999 (Ibu Sawat)
mindef[at]mod[dot]gov[dot]my