JOHOR, 30 Ogos 2024 – Menteri Pertahanan, YB Khaled Nordin telah melaksanakan lawatan ke Kem Mahkota, Kluang.
Dalam lawatan ini, YB Menteri Pertahanan diiringi Panglima Tentera Darat turut menyaksikan demonstrasi projek penanaman hidroponik oleh Profesor Madya Ts. Dr. Siti Amely binti Jumaat, Associate Professor in Electrical Engineering Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Seusai itu, beliau juga melancarkan Program e-Perkasa SPM Yayasan LTAT (YLTAT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai satu komitmen YLTAT bersama UPSI dalam memperkasa pendidikan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Seramai 800 orang anak-anak warga ATM bakal menerima manfaat daripada program ini terutama yang bersekolah di luar kem seluruh negara sebagai persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2024. Konsep pembelajaran ini menggunakan platform digital seperti Google Meet dan Youtube Live sebagai usaha penambahan pengetahuan dan kepakaran antara kedua-dua pihak.
Dalam pada itu, seramai 35 orang pelajar menerima sumbangan peranti Chromebook daripada Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) bagi memudahkan para pelajar untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan lebih praktikal.