SABAH, 3 Mei 2025 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan lawatan rasmi ke Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 yang beroperasi di Kem Kukusan, Tawau.
Ketibaan beliau telah disambut oleh Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Munir Hj Rani, yang kemudiannya memberikan taklimat mengenai fungsi pengoperasian markas, pelaksanaan tugas serta cabaran semasa yang dihadapi di kawasan tanggungjawab.
ATB 2 berperanan sebagai pusat kawalan utama bagi pelaksanaan Operasi PASIR (Op PASIR), yang menggabungkan kekuatan dan aset ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara dalam usaha memperkukuh keselamatan dan pengawasan perairan Pantai Timur Sabah daripada sebarang bentuk ancaman luar.
Kementerian Pertahanan menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkukuh keupayaan ATB 2 melalui penambahbaikan dari segi atur gerak, aset dan logistik bagi menjamin kedaulatan serta keselamatan wilayah negara sentiasa terpelihara.