REPUBLIK ITALI, 13 Mei 2025 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin memulakan lawatan rasmi beliau di Turin dengan mengadakan lawatan industri di fasiliti Syarikat Pertahanan Republik Itali, Leonardo S.p.A.
Lawatan ini bagi meninjau kemajuan pembinaan dua buah Maritime Patrol Aircraft (MPA) P-72M (Fasa 1) bagi kegunaan TUDM dan Program Kolaborasi Industri (ICP) yang sedang dijalankan bersama Malaysia.
Sewaktu lawatan, YB Menteri Pertahanan telah diberikan taklimat serta menjalankan tinjauan kemajuan pembinaan dua buah pesawat MPA yang diperoleh daripada syarikat Leonardo pada tahun 2023 dengan nilai sekitar RM900 juta. Pembinaan pesawat-pesawat tersebut sedang berjalan mengikut jadual, dengan mencapai kemajuan melebihi 60%.
Perolehan ini merupakan sebahagian daripada perancangan strategik yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55), di mana sebanyak enam buah pesawat MPA dirancang untuk diperoleh secara berfasa bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara.
Kementerian Pertahanan sentiasa komited dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan negara bagi menghadapi ancaman dan cabaran pertahanan yang semakin kompleks dan pelbagai. Salah satu langkah yang diambil adalah melalui perolehan aset seperti MPA P-72M untuk kegunaan TUDM.