KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2024 - Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari telah mengadakan lawatan dan menghadiri majlis resepsi yang dianjurkan di kapal pelbagai fungsi Tentera Laut Itali, ITS “MONTECUCCOLI.” Kapal tersebut sedang melaksanakan misi selama 6 bulan di rantau Indo-Pasifik, dan Port Klang merupakan salah satu daripada 13 pelabuhan di 11 negara yang disinggahinya.
Semasa lawatan ke atas kapal tersebut, YB Tuan Haji Adly dibawa melawat seluruh kapal dan menerima penerangan mengenai sistem-sistem yang terdapat di kapal itu daripada pegawai memerintah, Komander Alessandro Troia, dengan diiringi oleh TYT Massimo Rustico, Duta Besar Itali ke Malaysia.
Lawatan ke atas kapal ITS “MONTECUCCOLI” serta penyertaan dalam majlis resepsi ini mencerminkan hubungan kerjasama pertahanan yang erat antara Malaysia dan Itali. Aktiviti ini juga selaras dengan Tonggak Ketiga Strategi Pertahanan Negara, iaitu Perkongsian Berwibawa, seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.