KUALA LUMPUR, 5 Mei 2025 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin, diiringi oleh Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Mejar Jeneral Dato’ Haji Ya’cob bin Haji Samiran, telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) di Wisma Pertahanan.
Watikah pelantikan telah diserahkan kepada sepuluh orang ahli MLKN terpilih selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (SPB YDP Agong) pada 14 April 2025 yang lalu. Pelantikan ahli MLKN adalah selaras dengan Seksyen 7, Akta LatihanKhidmat Negara 2003 (Akta 628) yang memperuntukkan bahawa MLKN perlu ditubuhkan berdasarkan pengalaman dan kepakaran masing-masing dalam pelbagai bidang strategik.
Melalui pelantikan ini, ahli-ahli MLKN bertanggungjawab memberikan nasihat kepada kerajaan, merangka dasar strategik PLKN, memantau pelaksanaan program, serta menyelaras penglibatan pelbagai agensi dan pihak berkepentingan. Selain itu, mereka juga berperanan dalam memastikan tadbir urus kewangan yang baik, menjaga kebajikan pelatih, dan menilai keberkesanan modul latihan secara berterusan.
Hadir sama dalam majlis ini ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaafar; Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM serta pegawai kanan kementerian dan ATM.Â