JOHOR, 15 Disember 2024 - Menteri Pertahanan, YB Khaled Nordin telah menyempurnakan Majlis Perasmian dan Penyerahan Projek di bawah Program Kampung Angkat MADANI - Kementerian Pertahanan di Gelanggang Baharu Kampung Baru Pasak.
Dalam majlis ini, YB Menteri Pertahanan menyampaikan penyerahan bantuan kepada komuniti setempat termasuk Inisiatif Perumahan Veteran ATM (Baik Pulih Rumah), Sumbangan Bantuan Bakul Makanan, Bantuan Komuniti, serta Bantuan Persekolahan kepada Sekolah Pendidikan Khas.Â
Beliau turut berkesempatan melawat projek-projek yang telah dinaik taraf dan dibina baharu antaranya surau, balai raya, projek penanaman cendawan serta pusat perniagaan komuniti.Â
Usaha ini adalah satu manifestasi Kerajaan MADANI yang telah menyalurkan peruntukan nasional sebanyak RM100 juta semasa Belanjawan 2024 dengan pecahan setiap kampung angkat menerima peruntukan maksimum RM2.5 juta dan tambahan dana RM50,000.00 daripada MINDEF kepada Kampung Baharu Pasak melibatkan projek penanaman cendawan.Â
Turut berlangsung adalah karnival mini dengan penglibatan seramai 250 orang penduduk kampung. Karnival ini telah menawarkan pelbagai aktiviti seperti pertukaran 200 unit terawal topi keledar percuma, pertandingan mewarna, anyaman ketupat, permainan Kon dan Ring, Batu Seremban, Timbang Raga dan Boling Kelapa.Â
Selain itu, ATM juga turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan pergigian serta program kerohanian iaitu Kursus Pengurusan Jenazah dan Klinik Surah Al-Fatihah sebagai usaha untuk mengeratkan hubungan tentera dan orang awam.Â
Turut hadir dalam majlis ini adalah Ketua Setiausaha, YBhg. Datuk Lokman Hakim bin Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato' Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan serta Pegawai Kanan MINDEF dan ATM.