SELANGOR, 16 Oktober 2024 - YB Khaled Nordin, Menteri Pertahanan telah menghadiri majlis resepsi atas kapal German Navy Frigate "FGS Baden - Württemberg". YB Menteri Pertahanan bersama delegasi tertinggi Kementerian dan Tentera Laut DiRaja Malaysia telah dibawa untuk membuat lawatan serta diberikan taklimat mengenai sistem-sistem kapal berkenaan. Pada masa yang sama, YB Menteri Pertahanan telah berbesar hati untuk menyampaikan ucapan semasa majlis resepsi.
Kapal "FGS Baden - Württemberg" bersama dengan kapal Combat Support Ship “FGS Frankfurt Am Main” Tentera Luat Jerman sedang melakukan lawatan operasi di Port Klang Cruise Terminal (PKCT) dari 15 Oktober 2024 hingga 18 Oktober 2024. Lawatan operasi oleh kapal-kapal Tentera Laut Jerman ini mencerminkan hubungan kerjasama pertahanan baik antara Malaysia dan Jerman. Aktiviti ini menyokong Tonggak Strategi Pertahanan Negara Ketiga iaitu Perkongsian Berwibawa, seperti yang dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Tentera Laut.