Soalan Lazim
Hubungi Kami
Maklum Balas
Peta Laman
Content
Berita
Kementerian Pertahanan Malaysia
Content

MENTERI PERTAHANAN MENYEMPURNAKAN PEMBUKAAN RASMI MALAYSIA MARITIME CONFERENCE 2025 (MMC ’25)

mindef

LANGKAWI, 21 Mei 2025 – Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai negara maritim serantau dan global apabila Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin menyempurnakan pembukaan rasmi Malaysia Maritime Conference 2025 (MMC ’25) yang berlangsung di Mahsuri International Exhibition Centre (MIEC), sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA ’25).

Dalam ucapan perasmian yang turut merangkumi penyampaian keynote address, beliau mengetengahkan tema tahun ini: “Malaysia as a Maritime Nation: Synergizing Good Governance Through Effective Policies for Maritime Prosperity”. Tema ini mencerminkan komitmen negara untuk memperkukuh tadbir urus maritim dan memacu pertumbuhan ekonomi biru secara mampan dan inklusif.

YB Menteri Pertahanan turut menegaskan bahawa sebagai sebuah negara maritim, pendekatan Malaysia dalam hal ehwal maritim perlu dipandu oleh visi yang meletakkan keutamaan kepada kemakmuran bersama untuk seluruh rakyat, keselamatan laluan perdagangan antarabangsa, serta kestabilan dan keamanan serantau.

Sejak penubuhannya pada 2019 sebagai National Maritime Conference, MMC telah berkembang menjadi sebuah acara berprofil tinggi yang kini menarik penyertaan antarabangsa. Ia menjadi platform penting bagi menyelaraskan dasar maritim negara dengan amalan terbaik global, sambil meraikan warisan maritim yang membentuk identiti dan kekuatan strategik Malaysia.

Penganjuran MMC ’25 bukan sahaja memperkukuh dasar maritim negara, malah memperlihatkan keyakinan dan iltizam Malaysia untuk terus membina masa depan yang lebih cerah sebagai sebuah negara maritim yang berdaya tahan, progresif dan relevan di peringkat dunia.

YB Menteri turut menyempurnakan pelancaran jurnal “Navigating The Horizon” – satu terbitan yang menghimpunkan pemikiran strategik, dasar dan wacana akademik berkaitan hal ehwal maritim. Jurnal ini diharap menjadi rujukan penting dalam memperkukuh pemahaman dan dasar maritim negara selari dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang berwibawa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali serta Panglima Tentera Laut, YBhg. Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy bin Ithnain.

Content
Hubungi Kami

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
Malaysia
(60)3-4019 9999 (Ibu Sawat)
mindef[at]mod[dot]gov[dot]my