LANGKAWI, 22 Mei 2025 - Menteri Pertahanan Malaysia, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin telah menyaksikan Majlis Menandatangani dan Penyerahan Dokumen Kontrak, Surat Setuju Terima (SST), Surat Niat (LOI) serta Memorandum Persefahaman (MoU) oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2025.
Pemeteraian ini ditandatangani oleh Ketua Setiausaha, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali mewakili Kerajaan Malaysia serta turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Hj Mohd Nizam bin Hj Jaffar.
Dalam sesi ini, Kementerian Pertahanan telah memeterai keseluruhan kontrak bernilai RM11 bilion melibatkan 40 kontrak atau SST, dua (2) LOI bernilai RM30 juta dan ke atas kepada syarikat-syarikat yang telah dianugerahkan kontrak perolehan oleh MINDEF dari penghujung tahun 2023 hingga kini, dan enam (6) MoU antara MINDEF dan rakan strategik terpilih.
Turut hadir dalam majlis ini adalah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain bin Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Bin Ithnain TLDM; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM; serta delegasi-delegasi Kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia.