KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2024 - Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin bersama Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil telah menyaksikan penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Auditorium Kementerian Pertahanan.
Dalam majlis tersebut, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim bin Fateh Din telah menyerahkan MoU kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab Rahman sebagai tanda jalinan kerjasama strategik antara MCMC dengan ATM dalam usaha untuk menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan premis ATM yang terpilih di seluruh negara, khususnya penghuni Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Sebanyak 73 buah kem tentera akan terlibat sebagai penerima manfaat menerusi pembangunan infrastruktur gentian optik atau dikenali sebagai Fibre to the Home (FTTH). Inisiatif ini merupakan kelolaan bersama antara MCMC dengan Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan dan Markas ATM (BSEP, MK ATM).