Soalan Lazim
Hubungi Kami
Maklum Balas
Peta Laman
Content
Berita
Kementerian Pertahanan Malaysia
Content

PERBARISAN PENGANUGERAHAN PINGAT PERKHIDMATAN NEGARA BANGSA-BANGSA BERSATU (PNBB) DAN PEMBUBARAN MALAYSIAN BATTALION (MALBATT) 850-11

info

PORT DICKSON, 12 Dis 24 - Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab. Rahman telah menyempurnakan Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malaysian Battalion (MALBATT) 850-11 bertempat di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson, Negeri Sembilan.

Penganugerahan Pingat PNBB kepada kontinjen MALBATT 850-11 adalah bagi mengiktiraf komitmen dan profesionalisme setiap anggota MALBATT 850-11 yang berjaya melaksanakan tugas serta mandat yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selain ianya sebagai tanda penghargaan dan menjadi inspirasi kepada anggota pengaman agar sentiasa memberi yang terbaik kepada setiap penugasan perkhidmatan. Komander MALBATT 850-11, Kolonel Burhan bin Sagoni dan 6 Pegawai serta seorang anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) telah menerima pingat sebagai simbolik bagi mewakili keseluruhan kontinjen MALBATT 850-11. Tambahan lagi, Komander MALBATT 850-11 turut menerima pingat 𝘊𝘳𝘰𝘤𝘦 𝘊𝘰𝘮𝘮𝘦𝘮𝘰𝘳𝘢𝘵𝘪𝘷𝘢 𝘗𝘦𝘳 𝘓𝘢 𝘗𝘢𝘳𝘵𝘦𝘤𝘪𝘱𝘢𝘻𝘪𝘰𝘯𝘦 𝘈𝘭𝘭𝘦 𝘖𝘱𝘦𝘳𝘢𝘻𝘪𝘰𝘯𝘪 𝘋𝘪 𝘗𝘢𝘤𝘦 daripada Kementerian Pertahanan Itali. 

Kontinjen MALBATT 850-11 terdiri daripada 853 anggota iaitu 82 Pegawai dan 771 LLP termasuk 3 pegawai dan 26 LLP dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan daripada Kementerian Pertahanan. Selaras dengan resolusi PBB yang menyeru kepada peningkatan penglibatan wanita dalam misi pengaman, ATM telah menempatkan 10% anggota wanita dalam ketumbukan MALBATT 850-11 terdiri daripada 11 pegawai dan 74 LLP Pranita.

Pertukaran kontinjen MALBATT 850-11 dengan MALBATT 850-12 telah dilaksanakan secara berperingkat melalui empat fasa penerbangan menggunakan pesawat Batik Air bermula pada 6 November 2024 dan berakhir pada 20 November 2024 yang lalu. Majlis Penghantaran Kontinjen MALBATT 850-12 turut dihadiri ahli keluarga anggota yang terlibat. Pertukaran kontinjen MALBATT ini dirancang dengan teliti bagi memastikan pengoperasian diteruskan secara berkesan di samping mengekalkan kekuatan kuasa tempur kontinjen sebilang masa di kawasan misi. Setelah 12 bulan berkhidmat di bawah Panji-Panji PBB, MALBATT 850-11 dengan rasminya telah menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada MALBATT 850-12 pada 16 November 2024 yang lalu.

Sepanjang penugasan di bumi Lubnan, kontinjen MALBATT 850-11 telah mempamerkan disiplin dan mutu kerja yang cemerlang meskipun menghadapi pelbagai cabaran getir akibat ancaman konflik berterusan antara Israel dan Lubnan. Kecekapan serta profesionalisme anggota kontinjen ini telah membuktikan keupayaan dan kemampuan ATM dan ABDB dalam melaksanakan misi pengaman di peringkat antarabangsa. Dalam suasana operasi yang mencabar, kontinjen MALBATT 850-11 telah berjaya mengekalkan reputasi sebagai pasukan pengaman yang dihormati dan disegani, bukan sahaja oleh masyarakat setempat, malah dalam kalangan komuniti antarabangsa.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Zulhelmy bin Ithnain; Ketua Staf Tentera Darat mewakili Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Zaidan bin Atan; Timbalan Panglima Tentera Udara mewakili Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Sri Haji Muhammad Norazlan bin Aris TUDM; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi bin Haji Ahmad; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Zahani bin Haji Zainal Abidin TUDM; Penasihat Pertahanan Negara Brunei Darussalam, Leftenan Kolonel Rudie Asmawi bin Haji Abidin, Pegawai Kanan ATM dan ABDB serta Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan.

Sumber : MyJointForce

Content
Hubungi Kami

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
Malaysia
(60)3-4019 9999 (Ibu Sawat)
mindef[at]mod[dot]gov[dot]my