PUTRAJAYA, 31 Julai 2024 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat bercemar duli dan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan Negara.
Istiadat Perbarisan pada kali ini berkonsepkan perbarisan statik dengan penglibatan 4 detasmen terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Persatuan Pesara Bekas Polis (PPBP) berkekuatan 700 Pegawai dan Anggota ATM dan PDRM.
Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku diiringi dengan 21 das tembakan meriam yang disempurnakan oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), diikuti pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Seterusnya, tiupan ‘Paluan Akhir’ dipersembahkan.
Kemuncak acara adalah persembahan pantomim khas ‘OP SUBUH – Tragedi Bukit Jenalik, Sauk’ yang menyingkap kembali sorotan pengorbanan wira-wira negara dalam menjaga kedaulatan serta keamanan negara suatu ketika dahulu. Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan turut dihadiri oleh YAB Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pertahanan, Menteri-Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan.Â