LANGKAWI, 20 Mei 2025 - Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Diraja Anwar bin Ibrahim telah menyempurnakan Gracing Ceremony di Segmen Maritim Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ‘25) di Resorts World Langkawi.
Majlis dimulakan dengan gimik dramatik berupa penyusupan taktikal oleh anggota TLDM dan PDRM yang terjun dari udara sambil membawa ‘kotak hitam’ untuk diaktifkan oleh YAB Perdana Menteri.
Demonstrasi seterusnya mempamerkan keupayaan hebat pelbagai agensi maritim negara seperti TLDM, PDRM, APMM, JKDM, JPBM dan Jabatan Perikanan, menerusi manuvra taktikal bot dan jet ski.
Aksi mendebarkan diteruskan dengan misi menyelamat tebusan berkonsepkan Inter-Agency Coordinated Rescue Mission, menampilkan pasukan elit seperti PASKAL, MARIN, STAR, COBRA dan Jabatan Laut Malaysia – lengkap dengan koordinasi aset permukaan dan udara.
Acara diakhiri dengan terbang lintas (fly-past) dan lalu lintas hormat (sail-past) sebagai penghargaan kepada tetamu kenamaan dan simbol perpaduan maritim negara.
Segmen Maritim kali ini menegaskan komitmen Malaysia sebagai negara maritim yang strategik, dan LIMA ‘25 terus menjadi wadah utama menjadikan negara sebagai hab global industri maritim dan aeroangkasa.