KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2024 - Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) selaku penganjur Siber Siaga 2024 telah mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Record (MBR) sebagai penganjur bagi pertandingan hacking Code Combat Vs I-Hack teramai bagi tahun 2024.
Pertandingan yang diadakan bersempena dengan Program Siber Siaga 2024 dan Cyber DSA 2024 telah mengumpulkan peserta dari kalangan pelajar universiti dan agensi awam yang lain dalam memberi satu pengalaman baharu kepada peserta kerana mod pertandingan yang diberikan amat berbeza jika dibandingan pada acara sebelum ini. Pertandingan yang dilaksanakan ini meliputi jeopardy, attack and defence serta SCADA attack.
Pertandingan yang telah diadakan pada pada 6 - 8 Ogos 2024 bertempat di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) dengan penyertaan sebanyak 103 kumpulan merupakan satu kejayaan yang luar biasa. Pertandingan Siber Siaga Code Combat X I-Hack bertujuan untuk menguji kemahiran teknikal dan strategik peserta dalam menangani ancaman siber.
Code Combat X I-Hack merupakan sorotan utama acara Siber Siaga tahun ini dalam mempamerkan bakat dan kemahiran 103 kumpulan, mencerminkan minat dan kebolehan yang semakin meningkat dalam keselamatan siber dan penggodaman beretika dalam kalangan belia. Tema tahun ini, “Reveal The Unseen,” bertujuan untuk mendedahkan kesan tersembunyi teknologi, terutamanya dalam bidang siber, yang boleh memberi impak ketara terhadap operasi ketenteraan dan kestabilan serantau.