AUSTRALIA, 10 Disember 2024 – Menteri Pertahanan, YB Khaled Nordin , telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan Australia, TYT Richard Marles, di Pejabat Parlimen Komanwel, Melbourne.
Dalam pertemuan tersebut, YB Khaled Nordin turut mempengerusikan secara bersama dengan TYT Richard Marles dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tinggi (HLC) bagi Program Pertahanan Bersama Malaysia-Australia (MAJDP) yang ke-4.
Terdapat beberapa perkara yang telah dibincangkan melalui mesyuarat ini. Pertama, adalah usaha memperkukuhkan hubungan sedia ada melalui Operasi Gateway, dan pelaksanaan eksesais-eksesais utama seperti HARINGAROO dan Keris Strike, serta mempertingkatkan kerjasama dalam Five Power Defence Arrangements (FPDA) dan MAJDP.
Kedua, perbincangan turut melibatkan kerjasama dalam pembangunan doktrin pertahanan, keselamatan siber, serta kecerdasan buatan (AI). Kedua-dua negara turut menekankan kepentingan pembinaan ketumbukan siber, yang kini semakin relevan dalam landskap keselamatan global.
Ketiga, mesyuarat ini turut memberi penekanan kepada isu-isu geopolitik dan perkembangan pertahanan di ASEAN. Malaysia, kini sedang memuktamadkan persiapan sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan. Pada masa yang sama, Australia menghargai peranan penting yang dimainkan oleh Malaysia dalam membentuk hala tuju ASEAN, yang dilihat berfungsi dengan baik, dan akan terus memberikan perhatian terhadap perkembangan ASEAN.
Akhir sekali, kedua-dua negara akan memastikan rancangan kerjasama, khususnya dalam pelan lima tahun akan datang, diperhalusi agar lebih berstruktur dan teratur. Ini merangkumi langkah-langkah untuk meningkatkan keupayaan dalam domain maritim serta memperkukuhkan pembangunan kapasiti pertahanan Malaysia.