MIRI, 31 Oktober 2024 – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari, telah menjalankan program khas bagi menyantuni veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Daerah Miri, Sarawak menerusi Program Peduli Veteran Madani (PVM) yang berlangsung dari 30 hingga 31 Oktober 2024.
Dalam program ini, beliau telah melawat 21 veteran ATM yang mengalami masalah kesihatan kronik dan uzur. Daripada jumlah tersebut, lima orang merupakan balu veteran, seorang adalah isteri kepada veteran, dan dua orang anak veteran turut menerima kunjungan. Salah seorang daripada 13 veteran yang dilawati ialah penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB), iaitu Sarjan James Mering Imang dari Rejimen Renjer Diraja (RRD), yang dikenali atas keberanian dan dedikasinya dalam berkhidmat kepada negara.
Daerah Miri sendiri mempunyai populasi veteran ATM yang signifikan, dengan 10,218 veteran berpencen, 4,964 veteran tidak berpencen, dan 1,591 penerima pencen terbitan, menjadikan jumlah keseluruhan veteran ATM di daerah ini seramai 16,773 orang.
Program Peduli Veteran Madani tahun 2024 telah melibatkan seramai 205 veteran ATM dari seluruh Malaysia. Miri menjadi destinasi ke-11 dan terakhir untuk siri PVM bagi tahun ini, menandakan kesungguhan kerajaan dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan para veteran ATM terus terpelihara.
Â