KUALA LUMPUR, 30 Julai 2024 – Program Protégé Yayasan LTAT merupakan inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dengan kerjasama Global Turbine Asia Sdn Bhd (GTA), Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan BHIC AeroServices Sdn Bhd (BHICAS) yang melibatkan anak-anak Veteran ATM dan kakitangan awam Kementerian Pertahanan.
Insiatif ini menyediakan penempatan pekerjaan di bawah program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protégé) dalam pelbagai industri seperti farmaseutikal, aeroangkasa, minyak dan gas dan penerbangan bermula daripada kelayakan bagi lepasan Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Inisiatif Program rintis yang meletakkan YLTAT sebagai One-Stop-Centre dalam usaha pencarian calon telah menawarkan sebanyak 170 penempatan bagi tempoh 8 hingga 12 bulan bermula pada Ogos dan September 2024.Â
Kolaborasi inovatif ini juga merupakan laluan khas bagi membantu menambah baik kesejahteraan taraf sosio-ekonomi anak-anak warga pertahanan serta menyumbang dalam pemacuan ekosistem tenaga kerja sekaligus melahirkan sumber manusia yang berkualiti.