KUALA LUMPUR, 6 Ogos 2024 - Sesi pembentangan serta dapatan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan delegasinya yang diketuai oleh Naib Canselor, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib. Perbincangan tertumpu kepada kerjasama antara Kementerian Pertahanan (MINDEF), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan UiTM berkenaan inisiatif yang bertujuan meningkatkan pengiktirafan kelayakan melalui kaedah “Work-Based Learning”.
Di bawah kaedah ini, MINDEF mensasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem penilaian yang memberikan ‘nilai tambah’ buat warga ATM dan awam MINDEF, dengan membantu mereka menukarkan pengalaman, ilmu serta kemahiran kepada sijil, diploma atau ijazah dalam bidang yang bersesuaian, sekali gus membuka peluang dan laluan kerjaya, khususnya selepas persaraan.
Misalnya, selepas beberapa tahun berkhidmat sebagai pramusaji, seseorang anggota boleh dinilai dan dianugerahkan oleh pihak UiTM, Diploma Kulinari atau Pengurusan Hotel. Setakat ini MINDEF dan UiTM telah mengenal pasti beberapa program yang boleh ditawarkan, seterusnya menukarkan pengalaman mereka kepada kelayakan profesional, dikenali sebagai “Work-Based Award” (WBA).
UiTM memberikan komitmen untuk melaksanakan 5 program sebagai permulaan dengan kadar segera dan sedang giat berusaha untuk memetakan program tambahan, seperti kejuruteraan.
Kementerian sentiasa mengalu-alukan kerjasama seperti ini melibatkan institusi-institusi pendidikan tinggi (IPT) negara. Semoga usaha-usaha seperti ini akan menjadi “game-changer” baharu sekaligus memberikan nilai tambah yang bermakna kepada para perajurit kita yang telah banyak menyumbang dan berkorban kepada negara.