Soalan Lazim
Hubungi Kami
Maklum Balas
Peta Laman
Content
Berita
Kementerian Pertahanan Malaysia
Content

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT LAWATAN RASMI KE KEMENTERIAN PERTAHANAN

info

Kuala Lumpur, 26 Mac 2024 - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan bercemar duli mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kementerian Pertahanan. 

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda di Wisma Pertahanan telah disambut oleh Menteri Pertahanan; YB Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pertahanan; YB Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Datuk Seri Isham bin Ishak dan Panglima Angkatan Tentera serta Panglima-Panglima Perkhidmatan.

Seusai keberangkatan tiba, Seri Paduka Baginda telah berkenan menandatangani buku lawatan dan seterusnya menerima sembah taklimat dari Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan berkenaan Struktur Organisasi dan Profil Kementerian, Kertas Putih Pertahanan (KPP), Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025, Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN), Kekuatan Aset Strategik, Perolehan Aset Utama, Pelupusan Aset Usang dan Projek Pembangunan Utama.

Lawatan rasmi ke Kementerian Pertahanan ini adalah merupakan lawatan yang julung kali dizahirkan Seri Paduka Baginda ke atas organisasi Kementerian-Kementerian di Malaysia sejak menaiki takhta sebagai Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17. 

Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih di atas kesudian Seri Paduka Baginda selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia bercemar duli mengadakan lawatan kerja rasmi ke Kementerian Pertahanan.

.

Content
Hubungi Kami

Jalan Padang Tembak
50634 Kuala Lumpur
Malaysia
(60)3-4019 9999 (Ibu Sawat)
mindef[at]mod[dot]gov[dot]my