PAHANG, 13 Mei 2024 - Menteri Pertahanan, YB Khaled Nordin telah mengadakan lawatan kerja ke Markas Angkatan Bersama, tapak pembinaan Poliklinik ATM dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Kuantan.Â
Dalam rangka lawatan ini, YB Menteri Pertahanan telah melaksanakan lawatan ke tapak Poliklinik ATM Kem Batu 10 yang dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai 2025. Projek ini bakal memberi manfaat dan faedah kepada seluruh warga ATM dan awam MINDEF serta keluarga yang bertugas di kawasan Kuantan.
Seterusnya, beliau mengadakan tinjauan ke RKAT Kem Batu 10 dan Pangkalan Udara Kuantan untuk melihat dengan lebih dekat keadaan RKAT yang telah diselenggara meliputi kerja-kerja menggabungkan 2 unit kediaman menjadi 1 unit dimana setiap unit tersebut akan dilengkapi 3 bilik tidur dan 2 bilik air.Â
Susulan daripada penyelenggaraan RKAT, YB Menteri Pertahanan telah menyampaikan peruntukan senggaraan tahun 2024 yang bernilai RM3,065,602 kepada Markas Wilayah Laut 1; RM7,414,350 kepada Markas 4 Briged (Mekanise) dan RM12,040,000 kepada PU Kuantan.Â
Turut disempurnakan adalah Sumbangan Pendidikan MADANI oleh Yayasan LTAT - YLTAT kepada 10 orang pelajar iaitu anak-anak ATM Tahun 1 bagi sesi persekolahan Tahun 2024 dan penyampaian bantuan kebajikan kepada 50 orang anggota atau waris yang mengidap penyakit kronik.