KUALA LUMPUR, 5 Mei 2024 – Menteri Pertahanan, YB Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, YB Saifuddin Nasution Ismail telah menghadiri Media Walkabout bagi meninjau awal serta melihat persiapan akhir reruai pameran termasuk aset-aset yang bakal dipamerkan semasa DSA 2024 & NATSEC ASIA 2024 di MITEC, Kuala Lumpur.
Dengan bertemakan “Membina Ketahanan Negara Untuk Generasi Masa Hadapan”, pameran DSA 2024 kali ini akan memberikan fokus kepada pembangunan industri pertahanan Negara serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa.
Seramai lebih 400 pengamal media tempatan dan antarabangsa telah berdaftar secara atas talian dan dijemput hadir bagi memberikan pendedahan melalui sesi tinjauan awal serta melihat persiapan akhir reruai pameran termasuk aset-aset yang bakal dipamerkan.
Secara keseluruhan, sebanyak 1,324 syarikat daripada 60 buah negara dan 34 pavilion kumpulan negara telah mengambil bahagian. Ia turut menyaksikan penyertaan terbesar dari Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Itali dan Amerika Syarikat. Selain itu, keluasan tapak pameran pada tahun ini adalah 30% lebih besar berbanding edisi sebelumnya yang meliputi seluas 48,000 meter persegi.
Turut serta; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham bin Ishak; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Seri Mohammad bin Ab Rahman; serta panglima-panglima perkhidmatan.