Polisi ini dibangunkan untuk menjamin kesinambungan perkhidmatan MINDEF dengan meminimumkan kesan insiden keselamatan siber. Polisi ini akan memudahkan perkongsian maklumat sesuai dengan keperluan operasi MINDEF bagi memastikan semua maklumat dilindungi.
Muat turun dokumen di bawah :-
Tujuan
Polisi Keselamatan Siber Kementerian Pertahanan (PKS MINDEF) ini bertujuan untuk menerangkan mengenai tanggungjawab dan peraturan-peraturan yang perlu difahami dan dipatuhi oleh warga MINDEF, pembekal, pakar runding dan pihak yang mempunyai urusan dengan Perkhidmatan Digital MINDEF dalam melindungi maklumat di ruang siber.
Pemakaian & Pematuhan
Polisi Keselamatan Siber Kementerian Pertahanan (PKS MINDEF) perlu dipatuhi dan terpakai kepada semua warga MinDef (ATM & Awam), pembekal, pakar runding dan pihak yang mempunyai urusan dengan perkhidmatan digital MINDEF.
Menerangkan kepada semua pengguna merangkumi warga MINDEF, pembekal, pakar runding dan pihak yang mempunyai urusan dengan perkhidmatan digital MINDEF mengenai tanggungjawab dan peranan mereka dalam melindungi maklumat di ruang siber;
Memastikan keselamatan penyampaian perkhidmatan MINDEF di tahap tertinggi sekali gus meningkatkan tahap keyakinan pihak-pihak berkepentingan seperti agensi Kerajaan, industri dan orang awam;
Memastikan kelancaran operasi MINDEF dengan meminimumkan kerosakan atau kemusnahan disebabkan oleh insiden yang berlaku;
Melindungi kepentingan pihak-pihak yang bergantung kepada sistem maklumat dari kesan kegagalan atau kelemahan yang berlaku dari segi kerahsiaan, integriti, kebolehsediaan, kesahihan maklumat dan komunikasi; dan
Menyediakan ruang bagi penambahbaikan yang berterusan kepada pengurusan keselamatan dan pentadbiran ICT.